Dalam bentangan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat baru-baru ini, Kerajaan telah menyediakan dana sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam sebenar supaya tidak terus bergantung kepada produk patuh syariah mirip konvensional.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdasarkan kepada Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023 yang mengekalkan Malaysia terus mengekalkan kedudukan teratas untuk tahun ke-10 berturut-turut, seharusnya terdapat banyak ruang boleh diteroka bagi mengangkat sektor kewangan Islam ke tahap lebih adil berlandaskan maqasid syariah selain berupaya menyaingi produk konvensional.
Antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musyarakah melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil.
Tambah beliau, bagi merancakkan kajian dalam bidang ekonomi Islam, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai universal ekonomi Islam.
Jelasnya, perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa selaras dengan prinsip maqasid syariah yang adil, inklusif serta lestari untuk kemakmuran bersama.
Rezkinomik berharap dana ini membuka lembaran baru bagi penyelidik bebas membuat kajian produk-produk baru yang tidak berkaitan dengan sistem konvensional yang mengandungi unsur riba baik dalam urusan jual-beli dan pembiayaan.
Comments
Post a Comment