REZKINOMIK | MENTAKRIF EKONOMI ISLAM MENERUSI AL-QURAN DAN SUNNAH



Isi kandungan Al-Quran Al-Karim tindaklah semata-mata membincangkan persoalan hukum hakam Islam semata-mata. Ianya merupakan Kalam Allah SWT yang sarat dengan teks falsafah ekonomi, sosial dan teknologi yang sangat agung. Mereka yang bersekang mata berusaha mentadabbur ayat-ayat suci ini bukan sahaja akan diberikan ganjaran sepuluh pahala bagi setiap satu hurufnya, bahkan bakal memperolehi satu pemikiran yang salim lagi benar tentang erti kehidupan untuk dijadikan pedoman sepanjang hidup.
- Penulis : Danial Razali (https://www.kewangan.org/2017/11/surah-yusuf-kitaran-ekonomi-dan.html)

Mengupas Kisah Nabi Yusof AS berkenaan EKONOMI dari AL-QURAN

Mari kita ikuti kisah bagaimana Nabi Yusuf AS menyelesaikan krisis ekonomi dan kemarau yang melanda Mesir.

Kisah ini disampaikan oleh Allah SWT sebagai panduan kepada seluruh umat manusia melalui Surah Yusuf, ayat 47 – 49 yang bermaksud :

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47)

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).(48)

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”(49)

Melihat kejayaan Mesir dalam usaha berhadapan dengan krisis kemarau panjang yang berlarutan, ia adalah hasil usaha dan idea Nabi Yusuf AS yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir. Beberapa formula telah disusun oleh Nabi Yusuf AS agar Mesir mampu bertahan ketika musim kemarau tersebut.

Formula kejayaan itu adalah menerusi perkataan Yusuf itu sendiri yang merujuk kepada yakin kepada Allah, usaha yang luar biasa, simpan dahulu belanja kemudian, utamakan yang utama dan akhirnya fokus pada bulatan kawalan.
-Ustaz Syaari

APA ITU EKONOMI?

Ekonomi ditakrifkan sebagai suatu sistem pengendalian sumber kekayaan seseorang, sebuah komunti atau organisasi, atau sesebuah negara dan dunia amnya. Ekonomi menekankan amalan, wacana dan ungkapan bahan dikaitkan dengan pengeluaran, penggunaan dan pengurusan sumber.

Pengguna atau ejen ekonomi boleh jadi individu, perniagaan, pertubuhan atau kerajaan. Urus niaga ekonomi berlaku apabila dua kumpulan atau beberapa pihak bersetuju dengan nilai atau harga barang atau perkhidmatan yang diurus, biasanya dinyatakan dalam suatu mata wang tertentu atau membuat penukaran secara 'suka sama suka' berdasarkan apa yang ada (stok) dan apa yang diperlukan, atau lebih lebih dikenali dengan nama "barter trade".

Revolusi Matawang

Urus niaga kewangan dan matawang hanyalah sebahagian kecil kepada instrumen ekonomi. 

Revolusi wang dimulakan dengan wang komoditi. 

Peringkat penggunaan wang komoditi bermula apabila masyarakat merasakan terlalu banyak kelemahan dalam sistem barter. Mereka mencari satu alat lain untuk menggantikan kelemahan tersebut dengan memilih satu alat yang sukar untuk diperolehi serta mempunyai nilai di kalangan masyarakat. Pada mulanya mereka memilih alat-alat seperti barang perhiasan untuk dijadikan sebagai alat pertukaran.

Sejarah membuktikan tentang perjalanan evolusi perkembangan matawang. Antara barang-barang atau komoditi yang digunakan sebagai matawang ialah:
Biji-biji manik (biasanya diperbuat dari kaca, tanah liat, batu akik dan batu unam.)
Kulit-kulit binatang
Pedang
Cerek (bahan tembaga)
Tombak
Tempayan (yang merupakan simbol atau status kekayaan pada era tersebut)
Meriam kecil tembaga
Logam
Wang kertas
Wang Fiat.
Wang kredit.

Wang logam dicipta untuk menggantikan wang komoditi yang kurang sesuai peranannya sebagai wang. Selain emas, antara logam yang pernah digunakan sebagai wang logam adalah besi, timah, perak dan tembaga. Antara logam-logam ini, emas dan perak merupakan logam yang paling popular dan diguna secara meluas di seluruh dunia.

Apa itu Ekonomi Islam?
Ekonomi Islam pula adalah merupakan hasil satu proses yang melibatkan kepatuhan kepercayaan pada agama, budayanya, nilai, pendidikan, evolusi teknologi, sejarah, organisasi masyarakat, struktur politik dan sistem perundangan, serta geografinya dan cara urus penganugerahan sumber asli dan ekologi sebagai faktor utama.

Aktiviti ekonomi terdorong oleh pengeluaran yang menggunakan sumber asli, pekerja dan modal. Ia berubah dari masa ke masa disebabkan oleh teknologi (automasi, mempercepatkan proses, pengurangan fungsi kos), inovasi (keluaran baru, perkhidmatan, proses, mengembangkan pasaran, pempelbagaian pasaran, peluang pasaran, meningkatkan fungsi hasil) seperti yang mengeluarkan harta intelek dan perubahan dalam hubungan industri.

Dalam kata lain, ekonomi ialah sistem sosial amalan dan urusniaga manusia. Ia tidak dapat berdiri sendiri. Ianya memerlukan dua pihak atau secara kolektif komuniti bagi melengkapkan pengurusan sumber, pembekalan dan pengguna.

Jenis-jenis Ekonomi adalah gelaran yang dibuat oleh komuniti, antaranya adalah:-

Ekonomi Pasaran

Ekonomi berasaskan pasaran ialah tempat barang dan perkhidmatan dikeluarkan dan ditukar berdasarkan permintaan dan penawaran antara peserta (pengguna atau ejen ekonomi) melalui barter atau alat pertukaran dengan nilai kredit atau debit diterima dalam rangkaian, seperti unit mata wang.

Ekonomi Perintah

Ekonomi berasaskan perintah ialah tempat pengguna atau ejen politik mengawal secara langsung benda yang dikeluarkan dan cara ia dijual dan diedar.

Ekonomi Hijau

Ekonomi hijau adalah yang melibatkan sumber asli yang rendah karbon, cekap sumber dan terangkum secara sosial serta berevolusi dan berinovasi secara penerapan teknologi dalam kitaran penggunaannya.

Dalam ekonomi hijau, pertumbuhan dalam pendapatan dan pekerjaan digerakkan oleh pelaburan awam dan swasta yang mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran, meningkatkan kecekapan tenaga dan sumber, dan mencegah kehilangan biodiversiti dan khidmat ekosistem.

Ekonomi Sementara

Ekonomi sementara ialah tempat pekerjaan jangka pendek ditugaskan atau dipilih melalui platform dalam talian.

Ekonomi Baru

Ekonomi baru ialah istilah dirujuk dengan ekosistem muncul penuh di mana piawaian dan amalan baru diperkenalkan, biasanya akibat inovasi teknologi.

Beberapa potong Hadith yang menyebut tentang emas dan perak / dinar dan dirham


1) Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda "Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlahdinar dan dirham (untuk digunakan). (Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal).

2) Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Satu dinar yang engkau belanjakan untuk perjuangan fisabilillah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk seseorang hamba sahaya - lalu dapat segera merdeka, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada seseorang miskin dan satu dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, maka yang terbesar pahalanya ialah yang engkau nafkahkan kepada keluargamu itu." (Riwayat Muslim)

3) Dari Abu Abdillah (ada yang mengatakan namanya itu ialah Abu Abdirrahman) iaitu Tsauban bin Bujdud, yakni hamba sahaya Rasulullah s.a.w., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seutama-utama dinar yang dinafkahkan oleh seseorang lelaki ialah dinar yang dinafkahkan kepada keluarganya, dan juga dinar yang dinafkahkan kepada kenderaannya untuk berjuang fi-sabilillah dan pula yang dinafkahkan kepada sahabat-sahabatnya untuk berjuang fisabilillah juga." (Riwayat Muslim)

4) Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiada seorang pun yang memiliki emas dan tidak pula yang memiliki perak, lalu ia tidak menunaikan haknya - zakatnya - dari emas dan perak itu, melainkan apabila telah tiba hari kiamat nanti dibuatkan untuknya beberapa lembaran dari api neraka lalu di-panaskanlah dalam neraka Jahanam, kemudian di'seterika'lah lambung, kening dan punggungnya dengan lembaran-lembaran tadi, setiap kali ia telah menjadi dingin lalu dikembalikan lagi untuknya - yakni dipanaskan dan di'seterika'kan lagi. Hal sedemikian itu terjadi dalam masa yang perkiraan lamanya ialah selama lima puluh ribu tahun - menurut hitungan hari dunia, sehingga diputuskanlah antara sekalian hamba Tuhan, lalu orang itu dapat mengetahui kelanjutan nasib dirinya, ada kalanya ke syurga dan ada kalanya ke neraka.".... (Muttafaq 'alaih)

5) Dari Abu Darda' r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah engkau semua suka kalau saya beritahukan kepadamu semua akan sebaik-baik amalanmu, juga seindah-indahnya bagi Tuhan yang Maha Merajaimu semua, serta yang tertinggi dalam derajat-derajatmu semua, bahkan lebih baik untukmu semua daripada menafkahkan emas dan perak, juga lebih baik untukmu semua daripada engkau semua bertemu dengan musuhmu lalu engkau tebas leher-leher mereka itu dan mereka pun menebas leher-lehermu semua?" Para sahabat berkata: "Baiklah." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Iaitu berzikir kepada Allah Ta'ala."(Riwayat Termidzi)

6) Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Para manusia ini adalah bagaikan benda logam, sebagaimana juga logam emas dan perak. Orang-orang pilihan di antara mereka di zaman Jahiliyah adalah orang-orang pilihan pula di zaman Islam, jikalau mereka menjadi pandai - dalam hal agama. Ruh-ruh itu adalah sekumpulan tentera yang berlain-lainan, maka mana yang dikenal dari golongan ruh-ruh tadi tentulah dapat menjadi rukun damai, sedang mana yang tidak dikenalinya dari golongan ruh-ruh itu tentulah berselisihan - maksudnya ruh baik berkumpulnya ialah dengan ruh baik, sedang yang buruk dengan yang buruk." (Riwayat Muslim)

7) Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Binasalah - yakni celakalah - orang yang menjadi hambanya dinar/emas dan dirham/perak, baldu sutera serta pakaian. Jikalau ia diberi itu relalah hatinya dan jikalau tidak diberi, maka tidaklah rela - maksudnya ialah amat sangat tamaknya.(Riwayat Bukhari)

8) Hadits daripada Urwah bin Abi Al-Ja'd Al-Bariqi, beliau berkata:
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam memberinya satu dinar untuk membeli seekor kambing, lalu ia membeli untuk Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dua kambing dengan wang tersebut. Maka ia jual seekor dengan harga satu dinar dan membawa satu ekor kambing dan satu dinar kepada Nabi Shallallahu'alaihi wa sallam. Lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam mendoakannya: "Dia (Urwah ini), seandainya membeli debu tentu akan untung juga" ( Riwayat Abu Dawud [2810] dan at-Tirmizi [1/287])

9) Abu Salamah menceritakan, "Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA, "Berapakah mahar Nabi SAW untuk para isterinya?" Aisyah menjawab, "Mahar beliau untuk para istrinya adalah sebanyak 12 uqiyah dan satu nasy." Lalu Aisyah bertanya, "Tahukah kamu, berapa satu uqiyah itu?" Aku menjawab, "Tidak." Aisyah menjawab, "Empat puluh dirham." Aisyah bertanya, "Tahukah kamu, berapa satu nasy itu? "Aku menjawab, "Tidak." Aisyah menjawab, "Dua puluh dirham." (Riwayat Imam Muslim)

#ekonomiHalal
#rezkinomik
#majlisEkonomiHalal

Comments