REZKINOMIK | Seruan Umat Islam Berhijrah dari Sistem Ekonomi Haram & Gelap ke Ekonomi Halal & Terang
Seruan Umat Islam Berhijrah dari Sistem Ekonomi Haram & Gelap ke Ekonomi Halal & Terang - dibangunkan oleh Majlis Ekonomi Halal & disokong oleh Kolej Universiti Islam Melaka
Daripada Al 'urs bin Amirah Al Kindi dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Apabila ada satu maksiat dikerjakan dimuka bumi, maka orang yang melihat lalu membencinya, dalam riwayat lain, "lalu ia mengingkarinya, maka ia sama seperti orang yang tidak melihatnya. Barangsiapa tidak melihatnya, namun ia reda dengan maksiat tersebut, maka ia seperti orang yang melihatnya." (HR Abu Daud No: 3782) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Barangsiapa melihat kemungkaran lalu ia membencinya atau mengingkari dengan berusaha mencegahnya maka ia seperti orang yang tidak melihat mungkar tersebut (seorang yang beriman).
2. Barangsiapa mengetahui suatu maksiat yang berlaku dan dia reda dengannya (tidak berusaha mencegah dengan kuasa, lisan atau benci dengan hati) sesungguhnya dia telah melakukan dosa.
3. Muslim yang tidak melihat kemungkaran tetapi reda dengannya, maka dosanya adalah sama dengan orang yang melihat dan tidak mengingkarinya.
4. Reda terhadap maksiat akan menghilangkan perasaan ingin mengingkarinya dengan hati. Sedangkan mengingkari maksiat dengan hati adalah fardhu ain.
5. Jadilah Mukmin yang berjaya. Firman Allah:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
Dan hendaklah ada di antara kamu sekumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).
Semoga kita sentiasa memiliki sifat mukmin dengan tidak meredhai kemungkaran yang berlaku.
19 Mac 2022
16 Syaaban 1443H
Comments
Post a Comment